Pemuda UMNO Sambut Baik Kerajaan Ambil Kira Maslahah Lebih Besar – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR,13 April – Pemuda UMNO menyambut baik keputusan kerajaan yang tidak meneruskan hasrat membenarkan kedai gunting rambut dan cermin mata untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata langkah tersebut merupakan keputusan yang baik bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.

“Moga kerajaan terus mendengar nasihat pakar dan keluhan suara hati rakyat. Tiada salahnya untuk buat U-Turn dalam polisi sekiranya jelas maslahah lebih besar perlu diambil kira,” katanya menerusi catatan di facebook.

Memetik laporan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan kedai gunting rambut, salon kecantikan dan kedai cermin mata di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP.

Selain itu, Perdana Menteri turut memutuskan semua bentuk bazar Ramadan juga tidak dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Keputusan itu dimaklumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya selepas selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP di sini, hari ini.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.