Kalau Berada Di ‘Frontliner’, Baru Kamu Tahu Erti Syukur Dapat Duduk Rumah – Dr. Asyikin

KUALA LUMPUR, 13 April, – “Yang dapat duduk di rumah patutnya bersyukur, memang bukan senang untuk kami ‘frontliner’. Sebenarnya sangat sedih bila ada masyarakat yang tidak faham dengan saranan kerajaan untuk duduk di rumah. Kalau anda ada ditempat kami baru anda akan faham dan bersyukur dapat duduk di rumah,” luah pengamal perubatan Doktor Nurul Asyikin Abdul Hamid yang bertugas di sebuah klinik kesihatan Parlimen Batu.

Ujar beliau, setiap individu yang bertugas sebagai barisan hadapan sebenarnya sentiasa diselubungi perasaan bimbang kerana berisiko tinggi untuk menyebarkan virus COVID-19 kepada orang yang tersayang.

“Sebab itu kita ada slogan ‘you stay at home let us work for you’ sebabnya bila kamu berada di ‘fronliner’ baru kamu tahu bagaimana rasa setiap kali terpaksa tinggalkan keluarga di rumah, balik kerja mesti ada kerisauan kalau kita bawa balik virus dan menjangkiti suami dan anak-anak.

“Saya faham ada keperluan asas yang memerlukan anda keluar rumah tapi biarlah seorang sahaja yang keluar. Kalau kita tidak sama-sama mematuhi fasa ketiga PKP ini mungkin sampai raya kita terpaksa berkurung. Katakan fasa ketiga ini kita berjaya, tapi kita masih akan ada amalan baru seperti tidak bersalam dengan orang, jadi kita patut beri kerjasama,” ujar beliau.

Asyikin berkata demikian mengulas sesetengah pihak yang melahirkan rasa bosan kerana terpaksa berkurung di rumah.

Sebelum itu Asyikin menerima sumbangan keperluan asas daripada UMNO bahagian Batu yang disampaikan oleh ketuanya Datuk Yahaya @ Abas Mat Ghani.

Asyikin turut melahirkan terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada ‘fronliner’.

“Saya juga berharap kita sama-sama dapat beri kerjasama kepada kerajaan untuk memutuskan penularan wabak COVID-19,” ujar beliau lagi. UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.