BR1M, BSH Dan BPN : Perbandingan Dan Realiti Sebenar – Shabery

KUALA LUMPUR, 13 April – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek membuat perbandingan antara Bantuan Rakyat 1Malaysia, (BR1M), Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Baginya BR1M yang diperkenalkan sebelum BSH mempunyai tiga fungsi yang besar antaranya menjadi platform data untuk mengenal pasti siapa yang layak diberi bantuan dan jumlah bantuan ditentukan mengikut keperluan semasa dan kemampuan kerajaan.

“Pemberian diberi terus melalui akaun bank. Tidak lagi melalui perhimpunan ramai yang boleh dipolitikkan. Kedua, asas pemberian ialah memenuhi konsep subsidi bersasar. Ketika itu banyak subsidi ditarik. Wang itu disalurkan kembali kepada warganegara yang layak. Kalau subsidi umum, semua akan dapat termasuk bukan warganegara,” katanya menerusi catatan facebook.

Ketiga, tambah Ahmad Shabery ianya meningkatkan perbelanjaan rakyat terutama di peringkat komuniti dan kesannya kegiatan ekonomi diperingkat lokal menjadi lebih aktif dan memberi impak berganda kepada ekonomi negara seluruhnya.

“BRIM digelar dedak. Ia digambarkan buruk dan berniat jahat. BSH diperkenalkan. Pengkalan data berubah. Ramai menjadi tak layak. Kesannya bukan sahaja kepada penerima tetapi juga ekonomi rakyat. Kedai-kedai kopi dan runcit kampung pun terasa kurang pelanggan.

“BPN dilihat terlebih mudah. Hinggakan ramai yang tak mohon dan berkemampuan turut menerimanya. Ia pasti memberi kesan kepada kemampuan kerajaan di masa depan. Proses mencari keseimbangan akan mengambil masa kembali,” ujarnya.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.