UMNO Kalabakan Terus Komited Bantu Rakyat, Agih 4 Ribu Pek Makanan

KALABAKAN, 11 April – UMNO Bahagian Kalabakan akan terus komited dan bekerjasama dalam membantu barisan hadapan serta rakyat di parlimen berkenaan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19.

Sepanjang PKP, kata Ketuanya, Andi Muhammad Suryady Bandy, UMNO Kalabakan telah berjaya mengagihkan empat ribu pek makanan yang terdiri daripada makanan asas seperti beras, telur, gula, minyak masak, tepung, biskut, mee goreng, mee segera, makanan tin dan ikan segar.

Jelasnya juga, sumbangan tersebut telah bermula sejak PKP fasa pertama dan diagihkan dengan kerjasama barisan ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Insya-Allah sumbangan amal ini akan diteruskan untuk tempoh PKP yang akan dipanjangkan sehingga 28 April 2020.

“Saya juga berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu kepada golongan yang memerlukan sepanjang tempoh PKP… juga wang tunai yang akan diberikan oleh kerajaan dapat digunakan sebaiknya untuk kegunaan bersama keluarga terutamanya pada waktu Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya lagi dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Beliau yang juga merupakan Exco Pemuda UMNO Malaysia turut mengambil kesempatan melahirkan penghargaan kepada UMNO Sabah di bawah kepimpinan Ketuanya, Datuk Seri Bung Mokhtar atas sebahagian sumbangan pek makanan.

“Tidak lupa juga sumbangan daripada AJK Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri , NGO dan sukarelawan belia kerana sudi menyumbang dan membantu dalam agihan tersebut,” ujarnya lagi.

Di samping itu, Suryady juga berharap semua rakyat sentiasa berdoa agar wabak COVID-19 berjaya dihapuskan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.