Pelanjutan PKP: Mahasiswa, Pelajar Perlukan Perhatian – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 11 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpendapat Fasa Ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 15 hingga 28 April ini bukanlah bertujuan untuk membebankan rakyat sebaliknya menunjukkan komitmen dan keseriusan kerajaan untuk memerangi wabak COVID-19.

Ujarnya dalam satu kenyataan, rentetan daripada pelanjutan PKP, beliau berpandangan kerajaan perlu menyelesaikan beberapa isu dan keperluan yang berkaitan dengan mahasiswa, pelajar dan juga sedikit kelonggaran bagi kawasan berisiko rendah.

Berhubung dengan golongan mahasiswa baik di institut pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun swasta (IPTS), Ahmad Zahid menyarankan kerajaan menyediakan pengangkutan bagi menghantar pulang mahasiswa dan mahasiswi yang terkandas di IPTA/IPTS ke kampung halaman.

“Saringan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan mereka sihat dan bebas daripada COVID-19. Penghantaran ini juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) keselamatan.

“Menempatkan Kaunselor di IPTA dan IPTS bagi membantu para pelajar menguruskan ‘stress’ dan gangguan emosi,” tambahnya.

Manakala bagi pelajar sekolah menengah dan rendah pula, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mencadangkan agar disediakan platform pembelajaran yang mampu diakses oleh semua pelajar di bandar dan luar bandar dan tidak hanya bergantung kepada aplikasi teknologi internet sahaja.

“Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia bekerjasama mewujudkan platform saluran Televisyen Pendidikan bagi para pelajar mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran.

“Merangka dan menyusun kembali takwim pendidikan yang baharu bagi memastikan para pelajar bersedia dengan perubahan yang berlaku dan silibus dapat dihabiskan,” jelasnya lagi.

Seterusnya, Ahmad Zahid juga menyarankan kelonggaran pelaksanaan PKP untuk kawasan tertentu.

“Kerajaan disaran untuk pertimbangkan kelonggaran pelaksanaan PKP di kawasan berisiko rendah agar aktiviti ekonomi dan akvititi harian dapat dilakukan seperti biasa mengikut kaedah dan SOP keselamatan dan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga berharap agar semua rakyat diberikan ketenangan dengan pelanjutan PKP dan keadaan akan beransur pulih seperti sedia kala.

“Kepada Allah SWT kita berserah,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.