Wujud Ruang Penambahbaikan Pakej PRIHATIN PKS, Terutama Usahawan Kecil – Norliza

PULAU PINANG, 10 April – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Rahim berpandangan ada ruang penambahbaikan dalam inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan yang wajar diberi perhatian oleh kerajaan.

“Rata-rata usahawan terutamanya para penjaja kecil yang saya jumpa mengeluh sebab bantuan ‘one off’ Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya disalur kepada penjaja yang mempunyai permit Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Masalahnya mereka ini bukan tak mahu mohon permit tetapi bila mohon, susah diluluskan. Kita perlu beri perhatian sewajarnya kepada mereka seperti mana pelbagai bantuan disediakan bagi usahawan-usahawan kecil yang berdaftar dan mempunyai lesen/permit,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang turut menyambut baik inisiatif kerajaan untuk membantu para usahawan yang banyak terjejas akibat krisis COVID-19 dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pengumuman pakej tambahan tersebut.

Justeru Norliza mengemukakan beberapa cadangan untuk perhatian Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan juga pusat.

“Bantuan’ one off’ RM 500 untuk penjaja dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang ditingkatkan lagi untuk paling kurang tempoh 2 bulan.

“Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu segera meluaskan struktur penyaluran bantuan kepada penjaja agar penjaja yang tiada permit juga boleh menerima manfaat,” tambahnya.

Seterusnya ujar beliau, Kerajaan Persekutuan melalui agensi-agensi berkaitan seperti TEKUN terus digerakkan bagi mendekati kumpulan penjaja yang tiada permit untuk mencari kaedah penyaluran bantuan dari segi pinjaman tidak berfaedah (CBRM).

Tambahnya, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi untuk tempoh dua minggu, beliau berharap agar Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan segera mempertimbang untuk meluaskan lagi struktur penyampaian bantuan kepada para penjaja terutamanya yang tidak mempunyai permit. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.