Warga Gelandangan Akan Diberi Peluang Pekerjaan – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 10 April – Kira-kira 800 warga gelandangan yang berada di pusat penempatan sementara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditawarkan peluang pekerjaan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan proses saringan sepanjang tempoh PKP ini ke atas warga gelandangan yang sihat tubuh badan dan berkeupayaan untuk bekerja sebelum diberi latihan dan peluang pekerjaan.

“Para gelandangan ini selepas tamat PKP mereka tidak akan dilepaskan untuk bergelandangan lagi…Kesemua mereka akan melalui proses saringan ataupun kursus suai kenal untuk diberikan pekerjaan secara bergaji.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan CMC (crisis management centre) dan beberapa syarikat swasta yang bersedia untuk mengambil mereka, sama ada sebagai operator pengeluaran kilang ataupun pekerja bergaji harian oleh DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur),” katanya menerusi siaran langsung Facebook hari ini.

Warga gelandangan yang telah melepasi saringan dan layak akan mula bekerja pada 1 Mei nanti jika PKP tamat sebelum itu.

“Sementara menunggu untuk mula bekerja, mereka akan dipindahkan ke dua asrama yang disediakan oleh DBKL dan syarikat yang akan menggaji mereka.

“Mereka akan ditawarkan gaji sebanyak RM1,400 sebagai permulaan berserta elaun-elaun untuk jawatan operator pengeluaran kilang dan sebagai pekerja am DBKL dengan gaji harian yang membolehkan mereka mendapat tidak kurang daripada RM1,200 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata setakat ini sebanyak 12 Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, termasuk Putrajaya telah diklasifikasikan sebagai zon merah dalam kes jangkitan COVID-19.

“Sebanyak 79 kes positif telah dilaporkan di Selangor Mansion, Malayan Mansion dan Menara City One setakat semalam dan kesemuanya terletak berdekatan antara satu sama lain.

“Walaupun ia merupakan satu cabaran buat kami di kementerian namun saya yakin kami akan membuat yang terbaik bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19 di Wilayah Persekutuan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.