Tempoh PKP Dilanjut Dua Minggu Lagi Sehingga 28 April 2020 – PM

KUALA LUMPUR, 10 April – Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu dari 15 April hingga 28 April 2020, ujar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas beliau keputusan ini dibuat berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan pakar-pakar perubatan.

“Setakat ini seramai 1,830 orang pesakit telah keluar dari hospital. Ini bermakna 43% pesakit COVID-19 telah pulih. Hari ini sahaja jumlah pesakit yang pulih ialah seramai 220 orang, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu sebanyak 118 kes. Jumlah kes positif baharu juga telah menunjukkan penurunan sejak beberapa hari yang lalu. Jika trend penurunan ini berterusan untuk tempoh dua minggu akan datang, insyaAllah kita akan dapat mengawal wabak COVID-19 ini daripada menular.

“Namun begitu, kita tidak boleh mengambil mudah situasi yang sedang berlaku. Penularan wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan. Malahan, usaha-usaha mencegah wabak ini mesti diperhebatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan.

“Ini termasuk memberi tumpuan khusus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang dikenalpasti menjadi punca penularan wabak ini. Sehubungan itu, berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan pakar-pakar perubatan, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk tempoh dua minggu lagi bagi mengelakkan penularan semula wabak ini dalam masyarakat,” ujar beliau dalam perutusan khas sebentar tadi.

Berita lanjut selepas ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.