KeTSA Bangunkan Aplikasi WebGIS Bantu Pemantauan Penularan COVID-19 – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 10 April – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah membangunkan aplikasi Dashboard (WebGIS) bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON), Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, aplikasi ini menyediakan ‘Common Operating Picture’ kepada ATM dan MKN secara on-line melalui laman sesawang bagi mengetahui perkembangan terkini melalui penyata harian bagi Kes Positif ‘Person Under Surveillance (PUS)’ dalam kalangan pegawai, anggota ATM dan orang awam. Secara tidak langsung, pemantauan melalui aplikasi Dashboard ini dapat memberikan situational awareness mengenai penularan wabak COVID-19.

“Baru-baru ini saya telah mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Pusat Operasi Geospatial Pertahanan di JUPEM bagi melihat secara terperinci tentang WebGIS yang memaparkan maklumat terkini mengenai perkembangan virus pandemik COVID-19 di Malaysia. Lawatan ini juga sebagai tanda sokongan moral saya terhadap petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai dan anggota Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP), JUPEM dalam mengendalikan aplikasi tersebut.

“Aplikasi WebGIS ini merupakan salah satu medium penting dalam menyediakan ‘Common Operating Picture’ dan sebagai penyampaian maklumat geospatial di waktu kecemasan kepada Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara. Aplikasi ini juga dilengkapi dengan paparan yang mengandungi maklumat atribut dan spatial yang membantu dalam pembangunan aplikasi GIS untuk tujuan pemantauan dan ringkasan pelaporan keseluruhannya.

“Antara maklumat yang boleh dipaparkan adalah Lokasi Senarai Hospital Rujukan, Lokasi Stesen Kuarantin, Lokasi Kes Negeri, Lokasi Terjejas, Lokasi Kawasan Panas dan Lokasi Penutupan Jalan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan. Data-data yang digunakan dalam pembangunan WebGIS diperolehi melalui sumber-sumber rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia – National Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC); Angkatan Tentera Malaysia – Bahagian Perkhidmatan Kesihatan; ESRI Malaysia – COVID-19 GIS Hub Malaysia dan Social Media – Outbreak Malaysia serta laporan media tempatan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Shamsul, KeTSA melalui JUPEM akan sentiasa membantu Kerajaan Malaysia dalam menyediakan data geospatial terutamanya kepada ATM, Agensi Keselamatan dan agensi-agensi berkaitan mengikut keperluan dengan membangunkan aplikasi dashboard ini yang secara tidak langsung dapat membantu kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di Malaysia secara sistematik dan efisien.

Dalam lawatan yang sama, Shamsul juga telah menerima sumbangan dana berjumlah RM145,000.00 untuk Tabung COVID-19 KeTSA sebagai tanda sokongan dalam usaha pencegahan penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

“Dana tersebut merupakan sumbangan daripada Badan-badan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan bersama JUPEM seperti Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT), Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA), Geomatics and Land Surveying Division (GLS), Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), Koperasi Jurukur Tanah Berlesen Berhad (KOJUTA), Koperasi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Berhad (KOJUPEM), Yayasan Kebajikan Jurukur Tanah Berdaftar, Geospatial Sciences & Technology College (GSTC) dan Majlis Sukan JUPEM.

“Sumbangan dana ini akan diagihkan kepada klinik Kerajaan, badan-badan sukarela dan agensi-agensi yang berada di barisan hadapan dalam menangani wabak COVID-19. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada JUPEM atas kerja kuat bagi membantu kerajaan menghadapi wabah COVID-19,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.