Kerajaan Setuju Beberapa Sektor Ekonomi Terpilih Dibuka Secara Berperingkat – Muhyiddin

PUTRAJAYA, 10 April – Kerajaan bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebuah jawatankuasa khas kabinet yang dipengerusikan bersama menteri kanan merangkap menteri perdagangan antarabangsa dan industri serta menteri kanan merangkap menteri pertahanan akan diwujudkan untuk meneliti senarai sektor ekonomi yang terpilih tersebut.

“Saya faham bahawa ekonomi negara kita terjejas kerana sekatan-sekatan yang dibuat terhadap aktiviti perusahaan, perkilangan dan perniagaan sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

“Saya ingin tegaskan bahawa pembukaan beberapa sektor yang terhad ini bukan bermaksud kita melonggarkan PKP. Perintah ini masih berkuat kuasa dan semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mestilah dipatuhi,” katanya semasa menyampaikan perutusan khas di sini, hari ini.

Beliau berkata sekiranya terdapat pengusaha, kilang atau syarikat yang melanggar peraturan, kerajaan akan menarik balik kebenaran yang diberikan.

“Senarai sektor ini akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat,” katanya.

Perdana menteri juga mengumumkan berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar perubatan, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan PKP bagi tempoh dua minggu lagi, iaitu dari 15 April hingga 28 April, 2020. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.