Kerajaan Boleh Pertimbangkan Beberapa Saranan Jika PKP Dilanjutkan – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 10 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mencadangkan beberapa langkah yang boleh diberi perhatian oleh kerajaan seandainya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi selepas 14 April ini.

Menurut beliau inisiatif berkenaan merangkumi beberapa langkah yang mana bagi sektor seperti Sektor Pendidikan Rendah dan Menengah, Kementerian Pendidikan perlu menggalakkan sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara dalam talian.

“Penggunaan platfom yang interaktif mampu merangsang minat guru dan pelajar untuk meneruskan sukatan pelajaran sedia ada. Cara ini juga boleh menghalang pelajar daripada tepu setelah lama terperap di rumah.

“Slot pendidikan yang disediakan di saluran RTM sekarang juga boleh dipanjangkan tempohnya selain memperluaskan lagi ke saluran-saluran swasta dan berbayar.

“Di samping pelaksanaan saranan-saranan di atas, KPM turut perlu mengambil kira batas dan keupayaan para guru supaya proses PdP ini dapat dijalankan dengan sebaiknya,” katanya menerusi catatan di facebook.

Bagi Sektor Pendidikan Tinggi pula, Mahdzir mencadangkan Kementerian Pendidikan Tinggi boleh menyarankan kepada pihak universiti untuk menganjurkan kuliah dalam talian supaya sukatan kuliah boleh dihabiskan mengikut jadual asal.

Katanya kelebihan hampir setiap pelajar memiliki telefon pintar ditambah inisiatif syarikat telekomunikasi memberikan data internet percuma memungkinkan saranan ini dapat dilaksanakan.

“Untuk Sektor Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) pula, universiti berasaskan penyelidikan boleh mengambil peluang ini untuk memperkasa sektor R&D yang mana penyelidikan mengenai virus COVID-19 boleh dijalankan untuk memahami sifat dan keperibadian virus tersebut.

“Dapatan penyelidikan ini boleh dihebahkan kepada orang ramai untuk kebaikan bersama. Kumpulan R&D juga boleh menjalankan kajian untuk mencari vaksin virus ini. Mana tahu mungkin vaksin COVID-19 datangnya dari makmal kita,” ujarnya.

Ujarnya lagi untuk merealisasikan hasrat ini, Kerajaan mesti menyediakan geran penyelidikan dengan nilai yang wajar kepada universiti-universiti ini untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi.

“R&D yang dijalankan juga perlu melibatkan kepakaran semua pihak dalam bidang perubatan, penjagaan kesihatan, kawalan penyakit, pakar bioinformasi serta ‘data scientist’ supaya usaha ini dapat digembleng bersama,” tambahnya.

Bagi Sektor Keusahawanan, Mahdzir mencadangkan kerajaan perlu melancarkan inisiatif khusus untuk usahawan-usahawan PKS sama ada di bandar mahupun luar bandar dan inisiatif ini perlulah membolehkan perniagaan mereka beroperasi semula walaupun dalam tempoh PKP.

“Sampai bila Kerajaan mampu menghulurkan bantuan dalam bentuk wang ringgit? Platfom perniagaan dalam talian juga boleh diperluas untuk diperkenal dan digunakan oleh mereka. Atau dengan kata lain, implementasi teknologi jalur lebar 5G perlu disegerakan oleh penyedia perkhidmatan.

“Sektor Sains Kemasyarakatan, Satu kajian khusus boleh dijalankan oleh pakar-pakar dalam sektor sains kemasyarakatan untuk mengenalpasti norma-norma kehidupan yang pasti berubah pasca PKP.

“Dapatan kajian ini boleh digunakan oleh rakyat untuk bersedia dalam menyesuaikan diri sebaik sahaja Kerajaan mengumumkan PKP tamat sepenuhnya kelak. Dapatan kajian ini juga amat penting untuk rakyat membantu memulihkan ekonomi negara,” ujarnya.

Pada masa yang sama Mahdzir turut melihat berdasarkan laporan harian COVID-19 yang disampaikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) dan Ketua Pengarah Kesihatan, pihaknya merasakan perlunya PKP ini diteruskan lagi sehingga negara benar-benar bebas daripada virus ini.

“Seperti yang pernah saya katakan dahulu, kesihatan rakyat adalah lebih utama dan berharga. Kerajaan wajar mengkaji kesan penamatan perintah berkurung di Wuhan dalam tempoh 2 minggu akan datang. Ini boleh dijadikan sebagai petunjuk dalam membuat keputusan pelaksanaan PKP yang seterusnya.

“Saya menggesa kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan kerjasama dalam mematuhi setiap arahan Kerajaan semasa tempoh PKP ini demi untuk memutuskan rantaian COVID-19. Kita mesti menang,” katanya.- UMNO – Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.