COVID-19: Pemimpin Politik Perlu Berganding Bahu, Jangan Ulang Sebar Fitnah

KUALA LUMPUR, 10 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap agar para pemimpin politik tanpa mengira parti akan bersama-sama berganding bahu dalam menghadapi wabak COVID-19 sekarang ini.

“Sejujurnya saya amat berharap pemimpin-pemimpin parti politik tanpa mengira parti dapat melakukan ‘gencatan politik’ dan berganding bahu menghadapi COVID-19 demi rakyat,” katanya melalui kenyataan dalam laman Facebooknya.

Tegas beliau, apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Kuantan YB Fuziah Salleh yang sengaja mahu mencetuskan perasaan marah dan benci rakyat terhadap usaha Kerajaan dibawah Tan Sri Muhyiddin hari ini dengan menyebarkan video lama (Disember 2019) adalah amat tidak bertanggungjawab.

“Mujurlah beliau menyedari hal ini dan buat pembetulan. Harap tidak diulangi, kerana ini bukan kali pertama.

“Rakyat masih ingat video drama YB yang menggambarkan penduduk akan terdedah dengan radiasi Lynas sehingga sekarang tiada lafaz maaf atas fitnah yang dibuat,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Fuziah memohon maaf selepas mendakwa berlaku keadaan luar kawalan di Tambak Johor menerusi akaun Facebook miliknya.

Bagaimanapun, tuduhan dinafikan pihak polis yang menerangkan bahawa insiden itu berlaku pada tahun lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.