Tingkatkan Jumlah Saringan Banteras COVID-19, Satu Pelaburan Yang Amat Berbaloi – Najib

KUALA LUMPUR, 9 April – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata untuk membendung pandemik COVID-19 dengan sebaik-sebaiknya, setiap negara perlu meningkatkan jumlah saringan yang dibuat ke atas warga mereka.

Katanya, ini sebagaimana diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang berulang kali mengatakan mesti melakukan ujian demi ujian.

“Saya faham KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sedang kuat berusaha untuk menaikkan kapasiti membuat ujian COVID-19 di Malaysia tetapi ini adalah prioriti paling tinggi dan kita tidak boleh jatuh jauh ke belakang negara-negara lain,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) berpandangan saringan percuma atau pada kos yang sangat rendah perlu ditawarkan dan dipermudahkan kepada setiap rakyat yang rasa mereka telah terdedah kepada risiko dijangkit.

“Kos membuat saringan ini adalah satu pelaburan yang amat berbaloi dan memberi pulangan yang tinggi kepada negara.

“Saiz ekonomi kita sebanyak RM1.5 trilion setahun atau sekitar RM4 bilion setiap hari.

“Jadi, kiralah sendiri apakah pulangan kepada negara jika kita berjaya memendekkan tempoh ancaman COVID-19,” jelasnya.

Ahli Parlimen Pekan itu juga mencadangkan beberapa perkara yang perlu menjadi prioriti bagi kerajaan sekarang ini.

“Kapasiti kita untuk membuat ujian COVID-19 yang tepat dan pantas mesti dinaikkan dan dijadikan antara prioriti utama negara pada masa ini.

“Setiap kontak rapat dengan kes positif mesti dikuarantin secara mandatori – termasuk mereka yang didapati negatif dalam ujian pertama.

“Ada kontak dengan kes positif? Kuarantin 14 hari seorang diri secara mandatori. Tak kira ujian kamu positif, negatif atau tidak menunjukkan gejala,” katanya.

Tegasnya juga, semua pihak jangan mengulangi kesilapan sebuah hospital swasta di Sarawak di mana seorang yang didapati negatif dalam ujian pertama dibenarkan pulang ke rumah sehingga lima lagi ahli keluarga mangsa dijangkit dan maut.

Begitu juga tambah Najib mengenai pemantauan dan hukuman ke atas mereka yang langgar kuarantin patut diperketatkan dan diberatkan.

“Melanggar arahan kuarantin mandatori adalah perkara amat serius.

“Sebaliknya, mereka yang menjalankan kuarantin diri dengan baik adalah wira kita kerana mereka telah berkorban demi kepentingan negara.

“Jangan hina atau pandang rendah mereka,” gesanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.