COVID-19: Rakyat Mual Sikap Pemimpin PH Yang Terus Berpolitik

TEMERLOH, 9 April – Ahli majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Sharkar Samsuddin melahirkan rasa kesal dengan sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang masih terus berpolitik dalam keadaan negara dilanda musibah memerangi pandemik COVID-19.

Jelas beliau, sikap PH yang masih terus mencari salah pentadbiran kerajaan baru ini adalah sangat memualkan dan tidak sepatutnya berlaku diwaktu ini.

“Saya nak beritahu kepada PH… cukup-cukuplah main politik. Balik ke kawasan masing-masing, jenguk pengundi anda, adakah mereka memerlukan bantuan. Daripada sibuk menuding jari mencari salah, lebih baik mereka ini balik kawasan.

“Ini saya lihat di media sosial, ada pengundi yang mencari ahli parlimen mereka. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, muka sesetengah ahli parlimen PH ini hilang, tidak dapat dikesan.

“Mungkin ada rahmat apabila pucuk pimpinan kerajaan bertukar. Kalau masih di bawah PH, mungkin rakyat akan menderita teruk. Sebab itu saya benar-benar rasa kesal dengan sikap pemimpin PH, di kala rakyat perlu pertolongan dan bantuan, mereka masih nak main politik menyalahkan orang lain,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Sharkar, pemimpin PH harus sedar bahawa rakyat sekarang ini sedang menilai sikap mereka dan jangan terkejut sekiranya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mereka akan kalah teruk.

“Jadi mereka harus sedar… jangan nanti bila kalah masa PRU-15, mereka tuduh ada pengundi hantu, salah kira undi dan macam-macam lagi sedangkan hakikatnya rakyat sudah muak dan tahu sikap sebenar mereka.

“Mereka sepatutnya mencontohi UMNO, sepanjang dua tahun UMNO menjadi pembangkang, kita terus memberi servis kepada rakyat walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Jadi, bila PH kembali jadi pembangkang, bukan bermakna mereka tidak perlu buat kerja.

“Servis kepada rakyat harus terus dijalankan sebab mereka ahli parlimen atau ADUN yang telah dipilih oleh rakyat. Inilah masanya anda perlu bekerja keras sebab rakyat sedang susah. Bantulah kerajaan pusat, sama-sama ganding bahu bantu rakyat, bukannya asyik cari salah,” bidas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.