COVID-19 : Perketatkan Kawalan Keselamatan Sempadan Negara- Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 8 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melontarkan beberapa cadangan dalam usaha meningkatkan tahap kawalan keselamatan sempadan negara dan memutuskan rantaian pandemik COVID-19 pembawaan pendatang asing dan bukan warganegara.

Menurut beliau dengan keluasan perairan negara mencecah 614,000 kilometer persegi, menjadi antara cabaran besar kepada semua pihak yang menjaga perairan dan sempadan negara tidak kiralah sama ada Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin dan sebagainya dalam mengekang kebolosan pendatang asing ke negara ini.

“Kerajaan dicadang supaya meningkatkan penyelarasan operasi dan keselamatan di antara agensi penguatkuasaan melibatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Selain itu kerajaan juga perlu memanfaatkan keupayaan teknologi penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) dan dron bagi memantau aktiviti di kawasan sempadan yang jauh dari pos kawalan keselamatan.

“Pada masa yang sama mengukuhkan kerjasama Pertahanan dengan negara-negara jiran terutamanya Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina bagi menggandakan rondaan lebih dan kawalan keselamatan di sempadan negara masing-masing,” katanya di dalam Facebook, di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid lagi kerajaan harus menyediakan peralatan seperti saringan kesihatan atau keselamatan kesihatan atau apa sahaja alat terkini bagi mengesan sebarang wabak asing dari masuk ke dalam negara.

“Perhatian serius perlu diberikan agar kebolosan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak diketahui status kesihatannya dapat dikekang sewaktu negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 ini,” ujarnya.

Ujar beliau lagi kawalan keselamatan di sempadan negara meliputi laluan darat,laut dan udara perlu diperketat agar tragedi kebolosan sebuah bot hanyut yang membawa 202 pendatang asing dipercayai etnik Rohingya di 1.2 batu nautika barat daya Pantai Peranginan Resort Ritz-Carlton, Langkawi baru-baru ini tidak berulang.

“Semoga dipermudahkan segala usaha pasukan dan agensi keselamatan di sempadan negara bagi mencegah rantaian pandemik Covid-19 dan jenayah rentas sempadan,” katanya.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.