Bantuan Prihatin Nasional Menyeluruh Pelbagai Lapisan Rakyat – Norshida

KUALA LUMPUR, 7 April – Bantuan Prihatin Nasional (BPN) adalah bertepatan dengan situasi membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi akibat penularan COVID-19 yang menjejaskan rutin perniagaan dan pekerjaan rata-rata rakyat di negara ini.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim berkata langkah sedemikian juga pada masa yang sama dapat meredakan keresahan ramai pihak yang terjejas mata pencarian sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak berkenaan.

Menurut beliau pihaknya turut menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat PRIHATIN yang tidak melupakan bukan sahaja petugas barisan hadapan daripada sektor kesihatan, malah mereka yang terlibat dalam usaha menangani wabak COVID-19 turut menerima khabar gembira apabila kerajaan memanjangkan pemberian elaun khas kepada petugas lain.

“Petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak itu akan menerima elaun khas RM400 yang ditingkatkan kepada RM600.

“Bagi anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan akan menerima elaun khas RM200 sebulan yang mana elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak COVID-19 berakhir,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Tambah Norshida lagi PRIHATIN jelas berlandaskan prinsip prihatin kepada denyut dan nadi kebanyakan masyarakat.

Tambahnya lagi segala bantuan kepada golongan nelayan, pekebun kecil, pengusaha chalet, penarik beca, pesara, pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan sebagainya menunjukkan kerajaan mendengar keluhan dan cabaran hidup yang sedang dihadapi majoriti rakyat.

Sehubungan itu, katanya Bantuan Prihatin Nasional yang telah disegerakan bermula semalam dan tidak seperti yang diumumkan sebelum ini membuktikan bahawa kerajaan sentiada mendengar keluh resah nadi rakyat yang terjejas akibat penularan wabak COvid-19 ini.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib dan kebajikan rakyat yang terjejas sejak sepanjang PKP, bermula 18 Mac lalu,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.