Saranan Kepada ‘Task Force’ Pertanian, Perlu Kelestarian – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 6 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata semua pihak senada dengan keputusan kerajaan sebagaimana pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang mengatakan bahawa sebarang aktiviti atau operasi yang berkaitan dengan sektor pertanian dan perikanan dibenarkan untuk terus berjalan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ia merupakan keperluan asas.

Katanya, penghasilan produk pertanian dan perikanan perlu ada kelangsungan secara lestari dan tidak boleh terhenti pengoperasiannya contohnya seperti bekalan beras, ayam, daging, ikan, sayur dan pelbagai makanan lain yang mencukupi mesti diberi perhatian khusus oleh pihak kerajaan.

“Kerajaan perlu memastikan penghasilan produk makanan yang berterusan dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah supaya rakyat tidak terputus bekalan. Oleh itu, jawatankuasa yang bertanggungjawab membuat analisa dan penilaian stok makanan mesti bersiap sedia untuk memberi angka yang tepat kepada kerajaan.

“Jawatankuasa ini juga perlu bersedia untuk melaporkan sebarang situasi di luar jangka yang akan mengganggu bekalan makanan yang cukup untuk rakyat. Penyelarasan pengangkutan bekalan antara negeri dan daerah perlu berada dalam keadaan yang terbaik.

“Komunikasi yang efisien antara agensi kerajaan dan pihak swasta perlu berlaku bagi mengelakkan rakyat sukar untuk mendapatkan bekalan makanan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Seterusnya, Ahli Parlimen Padang Terap itu berpandangan satu lagi isu yang perlu diberi perhatian adalah lebihan hasil pertanian yang terpaksa dihadapi oleh peladang-peladang berskala kecil dan sederhana kerana kurangnya permintaan semasa tempoh PKP berjalan.

“Kerajaan melalui FAMA perlu membantu peladang-peladang ini dengan membeli produk pertanian mereka dan memasarkan di premis-premis FAMA yang sedia ada.

“Usaha ini dilihat dapat menambahkan bekalan makanan seterusnya memastikan sumber rezeki mereka tidak terputus.

“Selain itu, FAMA juga boleh memperluaskan lagi konsep Pasar Tani Pandu Lalu ke seluruh negara kerana kaedah ini dilihat praktikal dalam usaha membendung virus COVID-19 daripada terus menular,” sarannya lagi.

Justeru itu tambahnya, melalui inisiatif-inisiatif yang disenaraikan, ‘Task Force’ Pertanian dengan segera dapat membantu pengguna, penjual dan juga peladang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.