Penambahan Hutang Tak Munasabah, Jual Aset Negara: UMNO Gerik Gesa PDRM, SPRM Siasat PH

IPOH, 6 April – Atas dasar tanggungjawab kepada negara, UMNO Bahagian Gerik menuntut penyiasatan telus dan terperinci oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sama ada terdapat sebarang salah laku atau salah pengurusan dalam tempoh 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kata Ketuanya, Datuk Hasbullah Osman, pentadbiran kerajaan PH telah menyebabkan negara terpaksa menanggung beban hutang yang tinggi hanya dalam tempoh 22 bulan pentadbiran mereka.

“Malah kerugian besar dicatat hasil penjualan aset-aset milik negara kepada entiti swasta atau asing. Hal ini tidak boleh dibiarkan kerana ianya melibatkan kepentingan awam serta kepentingan kepada ekonomi negara.

“Penambahan hutang tidak munasabah dan tanpa keperluan munasabah ini boleh mengakibatkan keruntuhan ekonomi negara,” katanya juga selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Hasbullah yang juga Ahli Parlimen Gerik, sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan PH pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), seluruh rakyat Malaysia dimomokkan dengan keadaan kewangan dan ekonomi negara yang meruncing dengan hutang tinggi yang kononnya ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mencecah RM1 trilion.

“Momokan tersebut, kerajaan PH telah membuat pinjaman Bon Samurai daripada negara Jepun sebanyak dua kali.

“Tidak cukup dengan itu kerajaan PH telah menjual aset-aset strategik kerajaan termasuk syarikat-syarikat yang memberi keuntungan kepada kerajaan, di samping menjarah wang keuntungan Petronas sebanyak RM80 bilion yang kononnya bagi menampung kos pengurusan dan pembangunan kerajaan,” jelasnya lagi.

Hasbullah memberi reaksi demikian merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, difahami bahawa kedudukan kewangan kerajaan Malaysia berada di dalam keadaan yang baik dan tidak memerlukan sebarang pinjaman untuk dibuat daripada mana-mana pihak luar bagi mengharungi situasi ekonomi semasa, terutamanya selepas pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu rakyat Malaysia melalui saat sukar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selaras dengan usaha kerajaan membendung penularan pandemik wabak COVID-19.

Seterusnya, kata Hasbullah, UMNO Bahagian Gerik teguh mempercayai kredibiliti Menteri Kewangan serta kenyataannya berkenaan status kewangan dan ekonomi negara kini jika dibandingkan dengan mantan Menteri Kewangan PH sebelum ini yang tidak mempunyai kredibiliti, kemampuan dan pengalaman di dalam urus tadbir kewangan negara mahupun mana-mana institusi kewangan besar.

“Kelemahan (PH) ini tidak boleh diterima kerana ia akan menjadi penyebab rakyat terjerumus dalam keadaan ekonomi yang tidak sihat.

“Pelaburan yang kononnya dibawa keluar tidak memberikan sebarang keuntungan dan mencerminkan ketidakupayaan serta kelemahan teruk PH dalam mentadbir negara,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.