Pakej Prihatin Tambahan: Semoga Memberi Sedikit Kelegaan Kepada PKS – Shahril

KUALA LUMPUR, 6 April – Pastinya pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN tambahan) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi sedikit kelegaan buat pengusaha-pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang sangat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan ini.

Kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan, apa yang diharapkan kini adalah pelaksanaan yang telus secara berkesan bagi membolehkan PKS yang layak dapat segera menikmati inisiatif ini.

“Saya menyambut baik pengumuman Pakej Prihatin Tambahan berjumlah RM10 bilion oleh YAB Perdana Menteri hari ini yang ternyata cakna dengan situasi semasa dan maklum balas dari pelbagai pihak termasuk pemimpin-pemimpin UMNO setelah pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi pada 27 Mac tempoh hari,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, beberapa inisiatif telah diumumkan dan semuanya berkait dengan beberapa prinsip seperti membantu aliran tunai syarikat yang menggajikan ramai rakyat Malaysia, menangani ancaman pengangguran serta mengurangkan birokrasi dalam soal kelayakan dan pelaksanaan.

Berikut merupakan kenyataan penuh Shahril mengenai perkara berkaitan:

PAKEJ PRIHATIN TAMBAHAN: SEMOGA MEMBERI SEDIKIT KELEGAAN KEPADA PKS

Saya menyambut baik pengumuman Pakej Prihatin Tambahan berjumlah RM10 bilion oleh YAB Perdana Menteri hari ini yang ternyata cakna dengan situasi semasa dan maklum balas dari pelbagai pihak termasuk pemimpin-pemimpin UMNO setelah pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi pada 27 Mac tempoh hari.

Beberapa inisiatif telah diumumkan yang rata-ratanya menjurus kepada soal PKS, dan semuanya berkait dengan beberapa prinsip:

A. Membantu aliran tunai syarikat yang menggajikan ramai rakyat Malaysia.
B. Menangani ancaman pengangguran.
C. Mengurangkan birokrasi dalam soal kelayakan dan pelaksanaan.

Saya percaya atas prinsip-prinsip inilah Makcik Kiah, Pak Mail, Mr Lee, En Muthu, En Johnny dan ramai lagi yang disebut sebagai Perdana Menteri bakal menerima manfaat antara lain;

1) Subsidi upah dari RM600 dinaikkan sehingga maksima RM1200 bagi setiap pekerja yang layak dan ini amat dialu-alukan kerana seperti disebut awal tadi, soalnya bagaimana membantu PKS bukan atas dasarnya sebagai pemilik syarikat, tetapi sebagai majikan agar tidak memberhentikan pekerja-pekerjanya.

2) Geran Khas kepada pengusaha mikro sebanyak RM3,000 yang akan memanfaatkan sebanyak 700 ribu PKS melalui SSM dan PBT yang mana ini sangatlah disokong kerana ianya dapat membantu penjaja dan peniaga kecil termasuk mereka yang mungkin tidak berdaftar di SSM, agar tidak tercicir sepertimana pernah saya suarakan sebelum ini.

3) Skim Kredit Mikro di bawah Bank Simpanan Nasional dan TEKUN Nasional dengan kadar faedah 0% (sebelum ini 2%);

serta pelbagai bantuan dan manfaat lain yang telah diumumkan sama ada sebentar tadi ataupun ketika pengumuman sebelum ini.

Pastinya pengumuman Pakej Prihatin tambahan oleh Perdana Menteri ini memberi sedikit kelegaan buat pengusaha-pengusaha PKS yang sangat terkesan dengan PKP yang sedang dikuatkuasakan ini.

Apa yang diharapkan kini adalah pelaksanaan yang telus secara berkesan bagi membolehkan PKS yang layak dapat segera menikmati inisiatif ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.