Keputusan Tepat Batal Operasi, Pihak Cuai Mesti Bertanggungjawab, Tegas Wanita UMNO

HULU BERNAM, 6 April – Ketua Wanita UMNO Negeri Selangor, Datuk Rosni Sohar merakamkan penghargaan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana mendengar suara rakyat dan pandangan dari Muafakat Nasional dalam isu kebenaran operasi syarikat arak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tegasnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam itu, keputusan menarik balik kelulusan pengoperasian kilang arak itu amat tepat.

“Arak bukan sahaja bertentangan dengan nilai masyarakat majoriti rakyat Malaysia tetapi haram di sisi Islam.

“Dalam tempoh PKP ini juga, arak bukan keperluan sebagaimana digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika seluruh kekuatan sedang difokuskan untuk memerangi COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu juga, ia jelas tidak selari dengan dasar kerajaan PN, lebih-lebih lagi dalam tempoh PKP ini sendiri, perniagaan halal pun banyak yang ditutup.

Namun demikian tegasnya lagi, di sebalik kekeliruan mengenai kebenaran awal oleh kementerian yang berkaitan, kerajaan PN perlu memandang serius isu-isu sebegini pada masa hadapan dan mana-mana pihak yang cuai dalam melaksanakan tanggungjawab ini, harus dipertanggungjawabkan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.