COVID-19: Kerajaan Wajar Pertimbang ‘Total Reset’ Demi Ketahanan Negara – Khaled

KUALA LUMPUR, 6 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menganggap cadangan bahawa Malaysia mesti bersedia melakukan ‘total reset’ dalam memastikan kelestarian ekonomi dan pembangunannya ketika berdepan kesan krisis wabak COVID-19 adalah wajar diberi pertimbangan oleh kerajaan.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) telah memberikan cadangan dalam keadaan negara berdepan isu COVID-19 hari ini.

“Dalam kita hari-hari berdepan dengan wabak COVID-19 ini, pandangan yang dilontarkan oleh Tok Mat ini wajar di beri pertimbangan oleh kerajaan demi ketahanan negara untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan pendek menerusi Facebook beliau berkaitan hal ini.

Tok Mat dipetik berkata sebelum ini orientasi ekonomi negara adalah berdasarkan kebolehsaingan dan pendapatan tinggi, tetapi keutamaan masa kini ialah membangunkan ketahanan ekonomi dan mesti kembali membongkar potensi modenisasi ekonomi tradisional serta sektor pertumbuhan ‘crisis proof’ untuk kelangsungan ekonomi.

“Jika sebelum ini, rencana ekonomi kita ialah merangsang pertumbuhan. Sekarang, kita mesti kembali kepada pemulihan dan ketahanan yang lestari.

“Semua ini memerlukan inovasi, pemikiran luar kelaziman dan pendekatan ekonomi yang luar biasa,” kata Tok Mat dalam kenyataan terdahulu.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres baru-baru ini yang menggambarkan bahawa COVID-19 adalah krisis pandemik global yang paling parah dan mencabar semenjak Perang Dunia Kedua yang impaknya terhadap ekonomi akan menyumbang kepada ‘ketidakstabilan berterusan, ketidaktenteraman berterusan dan konflik berterusan’. – UMNO Online