Malaysia Mesti Sedia Lakukan ‘Total Reset’ Hadapi COVID-19 – Tok Mat

KUALA LUMPUR, 5 April – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia mesti bersedia melakukan ‘total reset’ dalam memastikan kelestarian ekonomi dan pembangunannya dalam berdepan kesan krisis wabak COVID-19.

Beliau berkata, sebelum ini orientasi ekonomi negara adalah berdasarkan kebolehsaingan dan pendapatan tinggi, tetapi keutamaan masa kini ialah membangunkan ketahanan ekonomi.

“Kita mesti kembali membongkar potensi modenisasi ekonomi tradisional dan sektor pertumbuhan ‘crisis proof’ untuk kelangsungan ekonomi kita.

“Jika sebelum ini, rencana ekonomi kita ialah merangsang pertumbuhan. Sekarang, kita mesti kembali kepada pemulihan dan ketahanan yang lestari.

“Semua ini memerlukan inovasi, pemikiran luar kelaziman dan pendekatan ekonomi yang luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres baru-baru ini yang menggambarkan bahawa krisis COVID-19 yang dihadapi pada waktu ini adalah krisis paling parah dan mencabar semenjak Perang Dunia Kedua.

Guterres dilaporkan berkata bahawa kombinasi ancaman kesihatan dan impaknya terhadap ekonomi akan menyumbang kepada ‘ketidakstabilan berterusan, ketidaktenteraman berterusan dan konflik berterusan’.

Pendemik global ini tidak akan berakhir dalam masa terdekat. Ia akan berlarutan sehingga sekurang-kurangnya setahun ke 18 bulan akan datang, katanya. – FMT

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.