Bayaran Awal BPN Langkah Terbaik Kerajaan Jaga Kebajikan Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 April – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan ekomomi sebilangan besar rakyat dan usaha kerajaan untuk mempercepatkan bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) adalah satu langkah terbaik untuk menjaga kebajikan rakyat.

Jelas beliau, bantuan yang telahpun bermula disalurkan ini akan memberi kelegaan kepada hampir 3.24 juta penerima dalam kategori B40 (isi rumah bawah RM 4000).

“Fasa pertama ini juga merangkumi penerimaan bantuan kepada golongan B40 bujang dan juga M40.

“Kita sedar, PKP juga telah menjejaskan pelbagai sektor yang selama ini menjadi tulang belakang negara seperti pelancongan, perbelanjaan terhadap hotel, runcit, pengangkutan serta restoran. Mereka yang terlibat dengan sektor penerbangan adalah paling berisiko sekiranya sekatan perjalanan lebih ketat berikutan COVID-19.

“Ekoran daripada pandemic COVID-19 ini, Malaysia dijangka mencatatkan kemerosotan permintaan penumpang sebanyak 39% tahun ini dengan kerugian perolehan mencecah RM14.46 bilion,” ujar beliau menerusi catatan di facebook.

Tambah Najmil, semua negara melakukan pakej ransangan ekonomi kerana bimbang aliran tunai ‘cash flow’ akan berkurangan di tangan rakyat.

“National Labour Organization menjangkakan tenaga kerja dunia akan hilang pendapatan sebanyak USD 3.4 trilion kerana wabak ini.

“Jadi, kita berharap semoga bantuanBPN ini dapat meringankan beban rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai golongan. Terima kasih juga kepada pihak yang tidak putus memberikan sumbangan bekalan makanan asas termasuklah parti politik seperti UMNO, NGO dan juga individu,” ujar beliau.

Untuk rekod, baru-baru ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebanyak RM250 bilion dengan matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Jumlah itu termasuk suntikan fiskal sebanyak RM22 bilion, jaminan kerajaan sebanyak RM55 bilion dan lain-lain inisiatif yang mencakupi lebih RM153 bilion.

Daripada keseluruhan jumlah tersebut, yang turut merangkumi RM20 bilion yang telah diumumkan sebelum ini, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2.0 bilion untuk mengukuhkan ekonomi negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.