Bantuan Prihatin Nasional Dipercepat, Terima Kasih Kerajaan Dengar Suara Rakyat – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 4 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada kerajaan yang memaklumkan bahawa Bantuan Prihatin Nasional untuk rakyat dipercepatkan bermula Isnin depan.

“Terima kasih kerajaan kerana mendengar rintihan dan suara hati rakyat agar dapat disegerakan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional bagi maklumat sudah sedia ada,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau.

Ujarnya, besarlah harapan agar tiada rakyat yang layak tertinggal atau dikesampingkan daripada bantuan tersebut.

“Moga dapat mengurangkan beban rakyat yang makin terasa keperitan akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lantaran Coronavirus ini,” katanya lagi.

Dilaporkan, semalam menerusi satu temubual khas dengan sebuah rancangan televisyen tempatan, Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pembayaran untuk Bantuan Prihatin Nasional akan bermula hari isnin ini, secara berperingkat.

Terdahulu, Dr Asyraf dalam kenyataan berasingan di laman Facebooknya memaklumkan bahawa semua Ketua-ketua Pemuda UMNO Negeri-negeri akan memantau keberkesanan sistem penyampaian bantuan kepada rakyat oleh jentera-jentera kerajaan.

“Insya-Allah Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bukan sahaja akan terus bersuara bagi pihak rakyat, malah akan menggerakkan seluruh 191 Bahagian untuk memantau bantuan kepada rakyat dalam tempoh PKP ini.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.