UMNO Ucap Tahniah Hadi Awang Dilantik Duta Khas Ke Timur Tengah

KUALA LUMPUR, 3 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) bersama barisan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan seluruh kepimpinan parti serta ahli UMNO merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

“Mewakili UMNO dan Barisan Nasional saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada YB. Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang di atas pelantikan sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang bertaraf Menteri.

“Saya yakin pelantikan ini akan menjadikan hubungan dua hala Malaysia dengan negara-negara di Timur Tengah akan terus subur dan memberi impak positif yang sangat besar. Selamat bertugas,” ucap beliau dalam kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Dilaporkan, Pejabat Perdana Menteri, dalam kenyataan semalam, memaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju melantik Ahli Parlimen Marang itu ke jawatan tersebut.

Abdul Hadi merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Beliau juga pernah tersenarai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan pada 2016. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.