TNB Antara Entiti Awal Bantu Usaha Kerajaan Perak Tangani Wabak COVID-19

KUALA LUMPUR, 3 April – Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menyerahkan bantuan kepada Kerajaan Negeri Perak, dalam menyokong usaha menangani wabak COVID-19 dengan agensi berkenaan merupakan antara entiti korporat dan GLC terawal tampil membantu kerajaan menangani virus tersebut.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata sebagai organisasi yang sentiasa mengutamakan rakyat, TNB telah pun menyumbang RM10 juta kepada Kementerian Kesihatan untuk membeli peralatan seperti ventilators dan bekalan perubatan lain yang semakin berkurangan sebelum ini.

“Sumbangan bernilai RM2 juta daripada TNB pada hari ini adalah di luar skop sumbangan RM10 juta berkenaan. Sumbangan RM2 juta ini adalah usaha tambahan TNB membantu kerajaan negeri membeli peralatan perubatan dan keperluan lain bagi menangani penularan wabak COVID-19 di negeri Perak.

“Pemberian ini, merupakan sebahagian daripada sumbangan RM17.5 juta yang TNB agihkan-agihkan secara terus kepada negeri-negeri di Semenanjung untuk menangani COVID-19. Setiap negeri menerima antara RM1 juta hingga RM2.5 juta bagi tujuan yang sama,” katanya di dalam facebook beliau di sini, hari ini.

Tambah Shamsul Anuar lagi, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, berharap sumbangan tambahan ini membolehkan pihak negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri mendapatkan peralatan dan barang-barang perubatan yang diperlukan.

Kerajaan Negeri katanya lagi perlu mengenalpasti peralatan dan barangan dengan pembekal-pembekal serta berurusan sewajarnya manakala segala pembayaran akan diuruskan oleh TNB apabila tuntutan yang telah disahkan sepenuhnya diterima dari pihak Kerajaan Negeri dan Kementerian atau Jabatan Kesihatan Negeri.

“Bagi Negeri Perak, sumbangan RM2 juta ini termasuklah pemberian dua (2) mesin ventilator, iaitu alat bantu pernafasan yang diperlukan oleh pesakit COVID-19. Adalah menjadi harapan agar pemberian ini sedikit sebanyak membantu Negeri Perak menangani wabak ini secara lebih berkesan.

“Keprihatinan TNB dalam usaha menangani wabak virus Covid-19 ini didorongi rasa tanggungjawab sebagai Syarikat yang mempunyai ribuan warga kerja, yang perlu berada di barisan hadapan dalam tempoh PKP.

“Mereka ini menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi bagi memastikan perkhidmatan tenaga elektrik yang berterusan dan stabil kepada rakyat, khususnya di hospital dan pusat perubatan,” ujarnya.

Pada masa yang sama Shamsul turut memaklumkan sumbangan TNB dengan jumlah keseluruhan hampir RM28 juta ini juga tidak termasuk sumbangannya bernilai RM150 juta bagi menyokong usaha kerajaan memberi diskaun elektrik sebagaimana diumumkan PM dalam Pakej Ransangan Ekonomi sebelum ini.

Turut bersama pada majlis penyerahan sumbangan yang diterima oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu ialah Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan Chief Retail Officer, Retail Division, TNB dan YM Raja Datuk Abdul Jalil Raja Zaid Head, Customer Services Perak, TNB. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.