Polis Boleh Guna Budi Bicara Benar Perjalanan Lebih 10km- Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 3 April – Polis dibenar menggunakan budi bicara untuk membenarkan orang ramai yang ingin melakukan perjalanan lebih 10 km bagi mendapatkan barangan makanan mahupun perubatan sekiranya terdapat keperluan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk perjalanan merentasi negeri walaupun sebelum ini peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua mengehadkan perjalanan haruslah tidak melebihi 10 kilometer.

“Semalam, kita ada individu yang ingin mendapatkan perubatan, tetapi hospital lebih 10km jadi mereka terpaksa membatalkan hasrat untuk ke sana sedangkan kesihatan adalah perkara utama yang diberi perhatian kerajaan sehingga kita perkenalkan PKP untuk jaga kesihatan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, seramai 483 individu dihadapkan ke mahkamah semalam kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri kanan itu juga berkata, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 737 sekatan jalan raya serta 403,336 pemeriksaan kenderaan dan polis menahan 524 individu kerana melanggar PKP semalam.

Beliau berharap rakyat terus mematuhi PKP dan trend penurunan tangkapan berterusan.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 371 kawasan telah dinyah kuman sejak 27 Mac sehingga semalam menerusi operasi sanitasi awam.

Proses nyah kuman dilaksanakan di kawasan berisiko tinggi terhadap jangkitan wabak COVID-19 dan diteruskan di semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.