COVID-19 : Harap Graf Menurun, Namun Jika Sebaliknya Kerajaan Perlu Pertimbangkan Beberapa Langkah – Shabery

KUALA LUMPUR, 3 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengharapkan graf bilangan mereka yang dijangkiti COVID-19 selepas 14 April depan menurun dan keadaan negara kembali normal.

Menerusi catatannya di facebook, beliau turut memberikan beberapa cadangan seandainya hasil tidak seperti yang diharapkan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan.

“Senario tersebut pastinya melumpuhkan ekonomi dan kerajaan tidak mampu untuk mengeluarkan lebih banyak bantuan besar seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Mungkin perlu dipertimbangkan langkah Korea Selatan, Singapura atau kaedah kita sendiri yang tidak menjerut kehidupan rakyat.

“Mana-mana daerah yang dianggap bersih dibenarkan kelonggaran di dalam daerah mereka sendiri. Kemudian dikembangkan kepada negeri-negeri sebelum diperluaskan seluruh negara. Kes seperti di Sg Lui boleh dibuat dengan hanya menutup kawasan itu,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi ekonomi yang terhenti perlu diberi nafas kembali dan semuanya perlu pengurusan rapi dan pendekatan yang ‘detail’ malah pada masa ini data paling penting dan keputusan mesti berasaskan data.

Kerajaan sebelum ini mengambil keputusan untuk melanjutkan PKP hingga 14 April ini susulan kes positif COVID-19 masih berlaku, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, pola semasa menunjukkan kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku.

“Pola ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh yang lebih lama,” katanya dalam perutusan khas sebelum ini.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.