Bantuan Prihatin Nasional Tepat, Elakkan Diri Jadi Mangsa ‘Scammer’ – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 3 Apr – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat bertepatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran COVID-19.

Katanya, rakyat tidak perlu berpusu-pusu membuat semakan kelayakan BPN kerana ianya boleh dibuat pada bila-bila masa sehingga 30 April ini.

“Bermula 1 April 2020, ramai yang berpusu-pusu mendaftarkan diri untuk mendapatkan BPN, namun di sebalik berita gembira ini ada juga pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan membuat pelbagai helah untuk memperdaya orang ramai.

“Rakyat Malaysia… elakkan diri anda daripada menjadi mangsa, jauhi ‘scammer’ dan yang penting jangan dedahkan maklumat sulit, jangan beri maklum balas dan dpatkan pengesahan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM),” katanya dalam hantaran pendek Facebook, hari ini.

Untuk makluman, LHDNM menerusi ciapan di akuan Twitter meminta orang ramai bersabar kerana aliran trafik amat tinggi di laman rasmi portal itu susulan semakan dan permohonan bagi mendapatkan BPN bagi golongan B40 dan M40, iaitu sebahagian daripada inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.