Pakej Rangsangan Ekonomi Menyeluruh, Sentuh Semua Pihak Termasuk Anak Seni

KUALA LUMPUR, 2 April – Profesional muda Shafiq Fahdly berkata, pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah satu pakej yang amat dinantikan oleh semua pihak kerana ia menyentuh keseluruhan rakyat tanpa mengira latar belakang.

Jelas beliau, walaupun ada segelintir yang mengatakan mereka tidak mendapat manfaat daripada pakej ini namun hakikat sebenarnya, tidak seorang pun yang tertinggal daripada merasa manfaatnya.

“Sebagai contoh anak seni yang mengatakan mereka tidak mendapat manfaat daripada pakej ini namun sebenarnya pengumuman internet percuma, penangguhan bayaran balik pinjaman bank, diskaun bil eletrik adalah contoh apa yang dinikmati secara pukul rata oleh semua orang. Ia menempati prinsip pakej ini yang diberi kepada semua dan tidak ada yang tertinggal.

“Tapi tidak dinafikan ada pihak yang mendapat lebih namun mereka ini adalah pihak yang memang memerlukan iaitu golongan di bawah pendapatan RM2,000 dan RM4,000 juga yang keluarga besar. Tetapi bagi mereka T20 tidak perlu mendapat bantuan pemberian duit tunai tetapi sudah cukup insentif-insentif lain yang diberikan seperti internet percuma dan potongan bil eletrik.

“Kita kena berlaku adil. Kita tidak boleh kata semua orang kena dapat RM2,000… pembahagian perlu secara adil bagi mereka yang benar-benar memerlukan,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Hujah yang bertajuk ‘Bantuan Prihatin Nasional: Apa Kata Anak Muda?’ Anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara langsung di facebook UMNO-Online malam tadi.

Bagi seorang lagi tetamu jemputan pelajar jurusan undang-undang Mirza Adnan berkata, pakej rangsangan ekonomi ini adalah sesuatu yang terbaik.

“Bagi anak muda sebagai contohnya merasakan seperti pemberian ini baru ‘kembali dari kubur’. Pelajar yang dulu tertanya-tanya di mana wang baucer buku mereka yang telah ditarik oleh kerajaan PH dan kini ia kembali semula.

“Bagi individu bujang pula yang mendapat RM800, mungkin orang lain rasa nilai itu kecil tetapi bagi individu bujang ia amat bermakna. Di saat ekonomi sebegini, mereka ada sedikit wang yang boleh mereka gunakan. Jika tidak ada wang ditangan maka akan ada putaran ekonomi. Anak muda perlu berterima kasih dengan pemberian ini,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.