UMNO Sabah Berkhidmat Hulur Bantuan Kemanusiaan COVID-19, Sasar 12,500 Ketua Isirumah
KUALA LUMPUR, 1 Apr – Walaupun UMNO Sabah adalah sebuah parti pembangkang di negeri itu, ianya tidak membantutkan hasrat parti tersebut untuk terus berkhidmat kepada rakyat walau dengan serba kekurangan.
UMNO Sabah dalam satu hantaran di platform Facebooknya, UMNOSabah Online berkata bantuan kemanusiaan akan menyasarkan sekurang-kurangnya 12,500 Ketua Isirumah di seluruh negeri yang rata-ratanya di bawah garis B40.
“UMNO Sabah telah mengusahakan bantuan-bantuan kemanusiaan kepada rakyat yang memerlukan khususnya yang terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya.
Menurutnya, antara barang keperluan untuk penerima bantuan tersebut adalah seperti beras, minyak, sardin tin, mee kering, gula, sabun buku pencuci, kopi, tepung, roti dan topeng muka manakala sanitizer dikhususkan untuk frontliner (barisan hadapan) sahaja.
Usaha UMNO Sabah yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin itu turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang turut dikongsi di laman Facebooknya.
“UMNO dahulu dihina dicaci difitnah. UMNO tidak berundur. UMNO sayang rakyat.
“UMNO adalah perjuangan rakyat. Walaupun kami pembangkang di Sabah, kami tetap bantu rakyat Sabah. Kami beri apa yang mampu. Insya-Allah setiap penerima dapat,” ujarnya.
Begitu juga Najib mendoakan agar rakyat Sabah terus dilindungi.
“Ini masa yang susah untuk semua.
“Syabas kepada jentera UMNO Sabah yang turun padang hulurkan bantuan kepada golongan B40.,” tambahnya lagi. – UMNO ONLINE