Langkah Kerajaan Dilihat Selaras Dengan Tuntutan Maqasid Syariah – Dr Fathul Bari

KUALA LUMPUR, 1 Apr – Ketua Penerangan UMNO Perlis, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya melihat kerajaan hari ini bukan sahaja meletakkan soal keselamatan rakyat sebagai keutamaan malah pada masa yang sama turut memberi penekanan yang cukup penting terhadap nyawa rakyat.

Menurut beliau perkara tersebut pada dasarnya seiring dan selaras dengan tuntutan salah satu ‘Maqasid Syariah’ dan secara jelas dapat dilihat menerusi Bantuan Prihatin Nasional setelah peruntukan yang cukup besar kepada mereka yang berada di barisan ‘frontliner’ dan sebagainya lagi.

“Apabila kita bercakap soal Maqasid Syariah iaitu objektif syariat tentunya kita tidak lari bahaskan  soal ‘Dharuriyyat’  atau perkara yang menjadi keperluan asasi. Tanpanya manusia tidak boleh hidup. Keduanya ‘Haajiyat’ iaitu ‘requirement’, satu keperluan.  Tanpanya manusia susah hidup. boleh hidup tetapi susah. Ketiganya ‘Tahsiniyyat’ iaitu merujuk kepada perkara-perkara nilai tambah. Tidak ada pun tidak mengapa.

“Situasi sekarang tentunya kita lihat ‘Dharuriyyat’ iaitu keutamaannya dalam mana-mana pentadbiran, dalam mana-mana pengurusan kita akan melihat kepadaperkara ini. Apa keperluan yang paling utama sekali dan tanpanya manusia tidak boleh hidup. Tentunya kita berbicara soal nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Segmen Hujah anjuran Penerangan UMNO Malaysia denga topic Bantuan Prihatin Kerajaan: Di Manakah Letaknya Keutamaan yang disiarkan secara live menerusi Facebook UMNO-Online, Selasa malam.

Katanya lagi menerusi  peruntukan bantuan prihatin  yang kerajaan salurkan kepada ‘frontliner’ hampir RM600 juta ianya memperlihatkan satu keutamaan yang kerajaan berikan.

“Kenapa..kerana mereka ini orang yang berada di depan sekali orang yang akan buat kerja untuk kita dan membantu kita dari sudut perubatannya, keselamatan, sekatan jalan raya, dan sebagainya lagi semuanya bertujuan untuk memutuskan rantaian COVID-19. Itu tujuan.

“Jadi nak selamatkan nyawa manusia Islam meletakkan satu keutamaan. Ini bukan perkara kecil dan ianya adalah perkara yang besar. Jadi soal nyawa diberikan keutamaan. Sebab itu Bantuan Prihatin ini adalah yang memberikan fokus kepada menepati tuntutan Maqasid daripada satu sudut iaitu nyawa.

“Keduanya kita bercakap soal harta manusia. Kenapa saya katakan harta penting.. Dalam keadaan sekarang orang perlukan duit untuk beli makanan….barangan, untuk menguruskan kehidupan. Kalau kerajaan tidak datang membantu ianya akan datang daripada mana. Sebab itu penting memutuskan rantaian COVID-19 dan bagaimana kerajaan memikirkan untuk menyambung rantaian ekonomi,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.