Rakyat Jangan Jadi Punca Kegagalan Henti Penularan Wabak COVID-19

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, kepimpinan negara serta pihak berkuasa telah melakukan yang terbaik untuk menghentikan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

Jelas beliau, sekiranya usaha itu gagal, ianya berpunca daripada sikap rakyat yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan.

“Usaha keras kerajaan ini mungkin gagal kerana masih ramai lagi yang tidak pedulikan arahan tersebut seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Masih ramai lagi yang keluar melepak, memancing, berkelah dan ada yang melakukan ‘private party’ semalam (kelmarin) di Johor Bahru.

“Rakyat Malaysia sekalian, saya merayu untuk mematuhi arahan kerajaan supaya kita dapat memutuskan rantaian COVID-19 ini. Kejayaan atau kegagalan Malaysia terletak di tangan kita. Ya Allah, bantulah kami,” tulisnya di laman Facebook miliknya.

Najmil yang juga merupakan Timbalan Ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu berkata, rakyat sepatutnya mengambil iktibar atas apa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS).

Penularan wabak COVID-19 di sana dikatakan berpunca daripada kegagalan pemimpin mereka, Donald Trump yang terlalu yakin dengan perubatan yang dimiliki negara itu.

Kes positif di AS meningkat lebih 15,000 orang dan hampir 2000 kematian. Sikap sambil lewa Trump akhirnya memusnahkan negaranya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.