Rakyat Bawahan Terjejas Teruk Bukan Satu Rekaan, Segerakan Bantuan PRIHATIN

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Lagi pemimpin UMNO menggesa kerajaan mempercepatkan bantuan-bantuan di dalam Pakej PRIHATIN sebagaimana yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat lalu.

Merujuk kepada status bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Facebook yang berharap kerajaan menyegerakan bantuan tersebut, permudahkan dan mempercepatkan proses rayuan serta tidak kedekut seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH), Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selain bersetuju, turut percaya ramai berpandangan sama dalam hal tersebut.

“Soal rakyat bawahan terjejas teruk bukan satu rekaan, kita tak mahu kesempitan mereka ini menimbulkan keadaan kacau-bilau sosial (social unrest),” ujarnya dalam satu hantaran di platform media sosial yang sama.

Ulas Khaled lagi dengan memberi contoh di Pasir Gudang, permohonan untuk dapatkan bantuan daripada Yayasan Pasir Gudang berjumlah 8,000 keluarga.

Jelasnya ini adalah kerana penutupan kilang-kilang akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dan mereka hilang punca pendapatan.

Untuk rekod, pakej bernilai RM250 bilion itu akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Daripada jumlah keseluruhan, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Antara bantuan wang tunai adalah seperti wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk golongan B40, M40 dan pelajar di institut pengajian tinggi yang dijadualkan akan disalurkan kepada penerima April dan Mei nanti. – UMNO ONLINE