Tempoh PKP Beri Pengajaran, Hargai Sumber-sumber Makanan – Dr Najmil
KUALA LUMPUR, 29 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat tidak memberi masalah kepada akses makanan dalam jangka masa pendek.
Katanya, Walaupun tempoh PKP dilanjutkan namun ia dapat mengajar masyarakat menghargai sumber-sumber makanan dari melakukan pembaziran makanan.
“Tempoh PKP yang lama ini mengajar kita tentang menghargai sumber makanan dan bagaimana untuk meneruskan kelansungan hidup secara ‘sustainable’.
“Operasi perniagaan yang dihadkan menyebabkan ramai rakyat Malaysia sering melakukan pembelian panik walaupun kerajaan memberi jaminan bekalan makanan mencukupi.
“Kita dapat mengelakkan serta meminimumkan masalah ini jika kita tidak terlalu bergantung dengan pasaran,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Tambah Dr Najmil lagi, bukan sahaja kerajaan dan agensi terlibat, malah individu perlu mengambil inisiatif sendiri dalam menjayakannya.
“Kita dapat menjadi negara peneraju dalam agenda ini jika usaha ini dilaksanakan oleh semua pihak. Tanaman secara hidroponik merupakan langkah terawal dan terbaik dalam memastikan kelestarian sumber makanan negara.
“Selain itu, kita juga dapat mengurangkan kebergantunggan terhadap sumber makanan yang diimport. Inisiatif ini perlu dimulakan dari individu dan dibantu oleh kerajaan serta agensi terlibat,” katanya lagi.
Dalam hal ini, World Economic Forum mencadangkan beberapa langkah untuk memastikan keselamatan makanan negara sentiasa terjamin:
1. Melakukan transformasi pertanian untuk memastikan sumber makanan mencukupi serta mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap perubahan iklim dan persekitaran.
2. Kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak swasta dalam melakukan R&D dalam inovasi pertanian.
3. Meningkatkan dana atau peruntukkan kepada golongan Small Medium Enterprise (SME) untuk memperbanyakkan input makanan.
4. Meningkatkan pelaburan kerajaan dalam sektor pertanian sebagai langkah melindungi kepentingan awam.
Sumber: https://www.weforum.org/…/four-priorities-to-help-fix-the-…/.
– UMNO ONLINE