‘Turning Point’ Baik Hubungan Malaysia-China, Tingkat Kerjasama Tangani COVID-19 – Razlan

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Kedutaan Besar China akan berbincang kaedah-kaedah baru bagi meningkatkan ekonomi antara kedua negara China dan Malaysia selepas selesai wabak pandemik COVID-19, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Raffi.

Menurut beliau perkara itu diberitahu kepadanya oleh Kaunselor Politik Kedutaan China di Malaysia, Yue Jun, selepas majlis penyerahan ribuan kotak topeng muka kepada UMNO di Kuala Lumpur hari ini.

Pada ketika ini, kata Razlan, kilang-kilang di China telah memulakan semula operasi mereka tetapi memerlukan bahan komponen dan bahan mentah dari Malaysia bagi pengeluaran.

Sebagai contoh, terangnya, sebuah kilang telefon di Pulau Pinang membekalkan komponen telekomunikasi kepada kilang di China tetapi disebabkan pandemik COVID-19 di Malaysia masih berlaku, kilang di China berhadapan sedikit kesukaran untuk mendapatkan komponen, begitu juga dengan ratusan kilang di negara ini yang memerlukan bahan-bahan pengeluaran dari China.

“Kedutaan China meminta UMNO sebagai sebahagian daripada parti pemerintah menyediakan senarai barangan keperluan yang dikehendaki dari China dan China juga akan menyediakan bahan yang diperlukan dari Malaysia.

“Keutamaan kita sekarang adalah memastikan ‘supply chain’ barangan antara industri di China dan Malaysia tidak terganggu atau putus,” katanya kepada media di Kedutaan Besar China, hari ini.

Razlan berkata, Yue Jun memberitahunya bahawa banyak kilang di China bergantung kepada komponen dari Malaysia dan begitu juga dengan Malaysia.

“Ini adalah ‘turning point’ yang baik dan penting kepada Malaysia dan China, kita mesti mula membincangkan penyelesaian kepada masalah yang akan berlaku selepas selesai pandemik ini,” katanya.

Mengenai topeng muka yang diterima oleh UMNO, Razlan berkata ia adalah kumpulan pertama daripada ribuan topeng yang diberi oleh kerajaan China kepada Malaysia.

“Penyerahan hari ini membuktikan hubungan rapat kerajaan China dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu.

“UMNO juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan China di atas kejayaan mengawal penularan pandemik COVID 19 di wilayah-wilayah di seluruh China,” ujarnya.

Kata Razlan lagi, beliau juga menyampaikan penghargaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli ahli Majlis Kerja Tertinggi yang lain atas sumbangan yang diberikan kepada UMNO dan berharap kerjasama antara kedua dua pihak akan terus kukuh di masa akan datang.

Sementara itu Yue Jun memaklumkan bahawa Kedutaan China akan menjemput pakar-pakar yang pengalaman dalam membantu Malaysia mengatasi COVID-19.

“Kami akan menjemput pakar dari Shanghai dan seramai 26 doktor pakar akan ke Malaysia untuk memberikan perkongsian pengalamannya mengatasi COVID-19 di China,” katanya lagi. – UMNO ONLINE