Pakej Rangsangan: Kerajaan Cakna, Kotakan Janji Prihatin Nasib Rakyat – Hairi

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan semalam oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan khabar gembira kepada segenap lapisan masyarakat di tanah air tercinta ini.

Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengotakan janjinya kepada rakyat apabila mengumumkan PRIHATIN yang berjumlah RM250 bilion.

“Apabila berjanji dikota… itulah yang telahpun dilaksanakan oleh kerajaan Pusat pimpinan PN mengumumkan PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang memberi manfaat kepada semua rakyat yang terjejas ekoran penularan wabak COVID-19.

“Melalui PRIHATIN, bukan sahaja golongan berpendapatan rendah dan sederhana termasuk golongan peniaga kecil, penjaja, nelayan dan petani juga terbela. Malah bagi golongan muda, individu bujang dan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) juga turut dibela oleh kerajaan PN.

“Terima kasih kerajaan PN dan kerajaan negeri Johor pimpinan Datuk Ir. Hasni Mohammad kerana cakna dengan kesusahan yang dialami oleh rakyat,” katanya pada hantaran Facebook, hari ini.

Tambah Hairi lagi, semua yang dilaksanakan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan PN dan kerajaan Johor kepada rakyat yang terjejas ekoran penularan COVID-19.

Sebelum itu, pada 23 Mac kerajaan PN telah mengumumkan empat inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh rakyat pada ketika ini, tambah beliau lagi.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM40 billion. Menerusi kemudahan ini, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun kedua masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

“Kerajaan juga bersetuju memberikan lanjutan masa dari tiga bulan kepada enam bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang melibatkan jumlah kutipan RM750 juta,” katanya lagi.

Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan itu merupakan bukti bahawa kerajaan PN tidak meminggirkan semua rakyat yang ketika ini begitu terkesan dengan penularan wabak COVID-19, ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.