Pakej Rangsangan Ekonomi Tanda Keprihatinan Tinggi Kerajaan Kepada Rakyat – SUA UMNO
KUALA LUMPUR, 28 Mac – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tanda keprihatinan tinggi kepada rakyat.
Ujar beliau, ianya juga akan menjadi pemangkin kepada ekonomi setempat dan negara agar boleh berkembang dan tidak menguncup di bawah sifar.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang telah menyediakan inisiatif prihatin rakyat yang begitu besar dan menyeluruh. Kita sedang berperang dengan musuh COVID-19 yang tidak kelihatan tetapi sangat merbahaya. Seluruh dunia sedang memeranginya, segala kekuatan yang ada perlu digembleng secara berkesan untuk memenangi peperangan ini.
“Maka, dikala rakyat terhimpit dengan permasalahan ini, tindakan kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi adalah tepat apatah lagi ia mendengar rintihan dan suara rakyat,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Ahmad, secara tidak langsung, perbelanjaan yang bakal berlaku akan mewujudkan kesan gandaan bagi ekonomi agar ia boleh berkembang.
“Ekonomi yang sihat itu pula membolehkan rakyat mendapat pekerjaan dan gaji bagi menyara keluarga.
“Kesan pembelian air mineral contohnya yang berharga sekitar RM1 itu diperolehi manfaatnya kepada pengeluar air, pengeluar botol, label, pemborong, peruncit dan pekerja sepanjang rantaian itu. Bermakna RM1 dibelanja dapat digandakan hingga 3-5 kali atau lebih. Inilah yang dimaksudkan sebagai kesan gandaan atau ‘multiplying effect’ yang sihat untuk perkembangan ekonomi rakyat dan ekonomi negara,” ulas beliau lagi.
Selain itu beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menegaskan, perkara paling penting kini adalah kaedah pelaksaan pakej rangsangan tersebut.
“Terpenting juga ialah kaedah pelaksanaan pakej rangsangan ini mesti cekap dan pantas. Kurangkan kerenah pentadbiran atau ‘red tape’ bila pembahagian dibuat. Rakyat di bawah sana menanti dengan sabar segala yang diumum dan kini tugas penjawat awam serta agensi yang berkaitan agar melaksanakannya dengan pantas.
“Moga Allah melindungi dan membantu kita semua, kepada Allah kita berdoa dan berserah setelah segala ikhtiar yang terbaik kita semua lakukan,” luahnya lagi. – UMNO ONLINE