Dakwaan Konon Ada Darurat, Perintah Berkurung Adalah Palsu – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 28 Mac – Kerajaan menepis dakwaan kononnya akan ada pengumuman berkaitan darurat atau perintah berkurung seperti disebarkan ketika ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan berita palsu itu kerana ketika ini kerajaan masih bertindak mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan bukannya perintah berkurung,

“Saya akan umumkan Perintah Kawalan Pergerakan akan diperketat apabila kita meneliti kesan dan tindakan kepada rakyat. Ini bukan perintah berkurung. Saya beri jaminan,” kata Ismail Sabri yang juga merupakan Menteri Pertahanan dalam sidang media di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata kadar pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah meningkat pada tahap 97 peratus hari ini.

Beliau berkata sebanyak 1,046 sekatan jalan raya diadakan dengan jumlah kenderaan diperiksa sebanyak 240, 544.

“Daripada jumlah kenderaan yang diperiksa membuktikan masih banyak kenderaan di atas jalan raya dan saya turut mendapat laporan bahawa masih berlaku kesesakan jalan raya di ibu negara,” katanya lagi.

Tambah beliau, walaupun kawasan sempadan negara ditutup tetapi masih ada kemasukan warga asing melalui jalan tikus yang telah dikenal pasti dan PDRM akan mengawal lokasi berkenaan.

Mengenai PKP Diperketatkan (PKPD) yang bermula Jumaat di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor, Ismail Sabri berkata tahap pematuhan PKPD di kedua-dua kawasan berkenaan mencapai 100 peratus.

Jelas beliau, kerajaan akan mengumumkan prosedur operasi standard baharu PKP yang lebih ketat di seluruh negara dalam sehari dua lagi. – BERNAMA