UMNO Sabah Sokong Tangani COVID-19, Bantu ‘Frontliners’ Dan Pelajar- Jafry

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Setiausaha UMNO Negeri Sabah, Datuk Jafry Arifin berharap agar penduduk negeri itu memahami arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam usaha menangani penularan COVID-19.

Katanya, UMNO Sabah akan terus membantu serta memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan negara dan juga pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak dapat pulang ke rumah masing-masing sejak perintah PKP dilaksanakan.

“UMNO Sabah telah menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada IPT dan juga para ‘front-liners’. Ini adalah bantuan yang semampu yang dilakukan oleh UMNO Sabah. Kita turut memberikan sumbangan serta bantuan sebanyak RM5,000 untuk membantu pelajar dari segi makan dan minum iaitu seramai 13 orang tidak dapat pulang ke rumah dan ditempatkan di Pejabat UMNO Negeri Sabah,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi seluruh dunia membuat tindakan yang sama bagi negara-negara yang terlibat COVID-19 ini.

“Saya mengharapkan rakyat Sabah agar mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh kerajaan dan sentiasa berada di rumah bagi mengelakkan penularan COVID-19 yang dikhuatiri merebak hingga di luar kawalan jika rakyat tidak mempunyai disiplin untuk membantu membendung wabak berkenaan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain beliau turut mengulas mengenai Pakej COVID-19 yang diumumkan oleh kerajaan negeri semalam yang mana peruntukan terbesar untuk insfrastruktur pada saat dan ketika ini tidak menepati sasaran.

“Ini kerana seperti yang diperkatakan oleh Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan semalam, peruntukan terbesar dalam pakej iaitu RM200 juta untuk projek infrastruktur tidak menepati sasaran yang mustahak ketika ini.

“Pada saya begitulah…bukankah pada saat dan waktu sebegini peruntukan terbesar sewajarnya adalah dalam konteks kemanusiaan. Memanglah memperuntukkan RM200 juta untuk projek boleh mengerakkan ekonomi dan ada kesan kepada ekonomi. Tetapi bukan itu yang menjadi keutamaan. Ini bukan masanya. Itu boleh dilakukan selepas krisis COVID-19 ini telah reda.

“Ketika bantuan kemanusiaan perlu diperbesarkan supaya mereka yang terhimpit dapat dibantu sebaik mungkin dan belum terlambat rasanya untuk kerajaan negeri menambah atau sebaliknya dengan menyalurkan peruntukan yang cukup besar untuk bantuan kemanusiaan,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.