Terima Kasih Pembentangan Pakej Rangsangan Dan Inisiatif Tambahan Buat Rakyat – Zahid


KUALA LUMPUR, 27 Mac – Hari ini Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan suntikan sebanyak RM250 billion dengan matlamat bagi melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan dan berterima kasih bukan sahaja kepada PM tetapi juga jemaah menteri yang telah bersetuju untuk pemotongan gaji selama dua bulan yang kemudiannya akan disalurkan ke Tabung COVID-19.

“Terima Kasih Perdana Menteri dan Jemaah Menteri atas keperihatinan memotong gaji selama dua bulan dan di sumbangkan kepada tabung bantuan COVID-19 serta Pembentangan Pakej Ransangan dan inisiatif tambahan buat rakyat,” katanya pendek menerusi Facebook beliau, hari ini.

Dilaporkan, menerusi pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, Muhyiddin mengumumkan suntikan fiskal sebanyak RM22 bilion, jaminan kerajaan sebanyak RM55 bilion dan lain-lain inisiatif yang mencakupi lebih RM153 bilion merangkumi kebajikan rakyat, untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan untuk mengukuhkan ekonomi negara.

Perdana menteri dalam ucapan beliau yang disiarkan secara langsung di televisyen dan saluran media sosial berkata keutamaan kerajaan waktu ini adalah untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh semua rakyat, jelasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.