Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat Menyeluruh, Tepati Sasaran Dan Adil – Mohamad

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sangat bertepatan, strategik dan sesuai masa, ujar Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, fokus utama rangsangan tersebut adalah mengurangi kesempitan hidup rakyat, membantu perniagaan dan melestarikan ekonomi.

“Ia sangat menyeluruh, menepati sasaran dan adil.

“Perdana Menteri telah melakukan perkara yang betul dan memberikan kepimpinan yang sangat diperlukan waktu ini,” tambahnya dalam satu hantaran di Facebook.

Sebentar tadi, Perdana Menteri mengumumkan suntikan sebanyak RM250 billion dengan matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19.

Jumlah itu termasuk suntikan fiskal sebanyak RM22 bilion, jaminan kerajaan sebanyak RM55 bilion dan lain-lain inisiatif yang mencakupi lebih RM153 bilion.

Daripada keseluruhan jumlah tersebut, yang turut merangkumi RM20 billion yang telah diumumkan sebelum ini, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2.0 bilion untuk mengukuhkan ekonomi negara.

Justeru itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau mengharapkan agar semua perkara yang diumumkan itu dapat segera diagih dan dilaksanakan.

“Kepada rakyat sekalian, InsyaAllah dengan sabar, kita akan berjaya dalam menempuh keadaan sukar ini,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.