Mahdzir Puji Pakej PRIHATIN: Negara Berada Dalam Landasan Tepat Jalani Pemulihan Pantas

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi memberi harapan baharu untuk negara ini.

Kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, bantuan bukan sahaja ke arah menggerakkan ekonomi negara tetapi juga memberi harapan dan cahaya kepada rakyat biasa yang terhimpit dan terdesak dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

“Saya fikir ada dua perkara terpenting dalam pengumuman tadi iaitu bantuan langsung kepada rakyat bawahan dan penambahan peruntukan untuk memerangi penularan COVID-19.

“Hampir RM10 bilion diperuntukan untuk pemberian tunai kepada golongan B40 yang merangkumi lebih tujuh juta rakyat. Selain itu lebih satu juta keluarga M40 turut menerima bantuan tunai.

“Bantuan ini bersama dengan pengecualian bayaran pinjaman perumahan dan kereta selama enam bulan merupakan satu langkah mengurangkan beban rakyat, industri kecil, perniagaan runcit dan makanan yang yang kehilangan pendapatan sejak 18 Mac lalu,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Bagi usaha memerangi COVID-19, ulas Ahli Parlimen Padang Terap itu, tambahan peruntukan untuk pembelian peralatan, upah kepakaran dan elaun petugas barisan hadapan menunjukkan iltizam dan komitmen kerajaan.

“Sebanyak RM 1 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan pembelian peralatan, tambahan petugas, dan mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.

“Elaun khas petugas perubatan turut dinaikkan daripada RM400 sebulan kepada RM600 sebulan mulai 1 April 2020 sehingga wabak COVID-19 berakhir,” ujarnya lagi.

Seterusnya tambah Mahdzir lagi, dana khas sehingga RM8 juta bagi membolehkan pihak insurans menanggung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan, yang diarahkan oleh KKM, untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta akan mempercepatkan lagi proses saringan COVID-19.

“Saya percaya dengan peruntukan seperti ini dan puluhan pakej rangsangan ekonomi lain yang diumumkan, negara kita berada dalam landasan betul untuk menjalani pemulihan pantas.

“Namun pakej rangsangan ekonomi ini hanya akan berkesan jika peruntukan-peruntukan yang diumumkan ini diurus dan dilaksanakan dengan baik, teliti dan tiada ketirisan,” katanya.

Walaupun begitu Mahdzir berkata dalam masa terdekat ini harapan semua ialah untuk melihat kemenangan negara menentang COVID-19 tanpa terlalu membebankan rakyat. – UMNO ONLINE