Alhamdullilah, Kerajaan Beri Kelegaan Buat Rakyat – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Pengumuman Pakej Ransangan Ekonomi oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu kelegaan kepada seluruh rakyat Malaysia di waktu yang sukar ini.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris, inisiatif yang diberikan oleh kerajaan bernilai RM250 bilion memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan.

“Inisiatif kerajaan ini bukan sahaja menjaga kesejahteraan rakyat malah mampu meningkatkan aliran tunai operasi perniagaan serta perkhidmatan dalam negara yang selama ini terjejas.

“Sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan kepimpinan kerajaan yang sentiasa peka dan prihatin dengan masalah rakyat,” ujarnya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu Muhyiddin telah mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah serta sebanyak RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 sebulan.

Selain itu, 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah mendapat RM800, malah tidak terkecuali pelajar-pelajar Institut Perguruan Tinggi (IPT) akan menerima RM200 seorang serta penangguhan bayaran PTPTN.

Pejawat awam juga akan menerima bantuan RM 500 termasuk mereka yang bekerja sebagai kontrak. Penyewa bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam juga dikecualikan selama enam bulan, malah kerajaan bersetuju untuk membayar gaji yang ditanggung oleh kontraktor yang terlibat dengan kontrak perkhidmatan seperti perkhidmatan pembersihan dan bekalan makanan bermasak di agensi kerajaan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.