Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Dilaksanakan Di Johor – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor berkuat kuasa mulai tengah malam ini hingga 9 April.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata tindakan itu dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan setelah Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 83 kes positif jangkitan COVID-19 di Daerah Kluang, dengan 61 kes adalah dari dua kawasan itu.

“Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut.

“Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan 3,570 orang penduduk tempatan daripada 650 keluarga. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya.

Ismail Sabri berkata dengan pelaksanaan perintah tersebut, semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

“Bukan penduduk tempatan dan pelawat pula tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan. Semua aktiviti perniagaan juga dihentikan. Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Katanya selain itu Pangkalan Perubatan akan dibuka di kawasan PKPD dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata semua penduduk diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas daripada Kementerian Kesihatan serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

“Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434,” katanya. – BERNAMA