Kementerian WP Tampil Inisiatif Wilayah Cakna Bantu Urus Impak Penularan COVID-19

PUTRAJAYA, 25 Mac – Kementerian Wilayah Persekutuan mewujudkan Inisiatif Wilayah Cakna dengan peruntukan RM63.6 juta bagi membantu warga Wilayah Persekutuan menguruskan impak penularan wabak COVID-19.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata sebahagian besarnya iaitu RM54.3 juta adalah untuk membantu golongan miskin bandar, kumpulan B40, pelajar, gelandangan, peniaga kecil dan penjaja.

“Sebanyak RM5.9 juta diperuntukkan bagi membantu petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas perubatan dan penguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebanyak RM3.4 juta pula adalah bagi membantu pesakit, pesakit dalam siasatan (PUI) dan mangsa COVID-19, termasuk sumbangan peralatan bernilai RM3.3 juta kepada tujuh hospital Wilayah Persekutuan, RM500 kepada setiap keluarga mangsa COVID-19 dan RM 2,500 bagi setiap kes kematian COVID-19 di Wilayah Persekutuan,“ katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata antara bantuan lain termasuk pengecualian bayaran sewa sebulan dan penangguhan dua bulan kepada 40,000 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bernilai RM4.96 juta.

“Sebanyak 24,196 keluarga akan diberikan bantuan zakat khas RM500 tiap satu keluarga, melibatkan RM12.1 juta; bantuan one-off RM500 turut diberikan kepada peniaga kecil dan penjaja berjumlah RM11.8 juta; dan elaun khas turut diberikan kepada penguatkuasa, pasukan perubatan dan petugas operasi,” katanya.

Penangguhan enam bulan bayaran balik pembiayaan tanpa sebarang penalti lewat di bawah Skim Pembiayaan Khas Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan, anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan turut diberikan kepada 6,000 pembeli rumah PPR dan PA DBKL.

“Bagi penjaja dan penjaga kecil, pengecualian sewa tiga bulan diberikan kepada 6,000 penjaja di Kuala Lumpur, manakala peniaga yang menyewa premis Perbadanan Putrajaya pula diberikan pengecualian dua bulan.

“Selain itu, sumbangan ‘food pack’ juga akan diberikan kepada 65,000 keluarga miskin dan B40 di Kuala Lumpur; dan 1,000 di Putrajaya, serta bantuan makanan kepada golongan gelandangan seramai 700 orang,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.