Kementerian Pertahanan Dan JHEV Percepat Bayaran Elaun Ringankan Beban Veteran ATM

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pertahanan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM telah berbincang dan bersetuju dengan beberapa keputusan untuk meringankan beban Veteran ATM dalam menghadapi suasana wabak COVID-19.

Jelas beliau, keputusan ini diharapkan akan dapat meringankan beban veteran ATM dalam mengharungi saat dan tempoh genting ini.

“Kementerian sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan veteran-veteran ATM. Kita telah putuskan untuk membuat pembayaran dana kutipan jalanan kempen Tabung Pahlawan 2019 jadi, pada akhir bulan ini, sebanyak 74 persatuan veteran ATM akan menerima semula dana kutipan jalanan termasuk ‘matching grant’ yang telah dijanjikan.

“Pembayaran semula dana kutipan jalanan dan ‘matching grant’ serta insentif bagi persatuan-persatuan veteran ATM yang layak ini melibatkan pengagihan dana Kempen Tabung Pahlawan 2019 berjumlah RM5.3 juta (RM5,320,486.46).

“Selain itu, Kementerian Pertahanan juga telah bersetuju untuk mempercepatkan pembayaran fasa kedua Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebanyak RM500 secara ‘one-off’ (sekali bayaran) pada minggu akhir bulan Mac 2020 kepada 40,000 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM 20 juta,” ujar beliau dalam sidang media harian.

Selain itu jelas Ismail, Kementerian Pertahanan juga bersetuju untuk mempercepatkan pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 seorang mulai 1 April 2020 secara bulanan kepada 4,800 penerima yang layak dan telah memenuhi syarat.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebarang urusan atau aduan berhubung dengan veteran ATM boleh dibuat dengan mengubungi talian hotline JHEV (03-26976600) atau melayari portal JHEV (www.jhev.gov.my). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.