Shahril Bidas MB Selangor, Exco Tidak Matang… Keterlaluan Dalam Berpolitik

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan amat kecewa membaca status Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Rizam Ismail di media sosialnya mengenai kerajaan negeri Selangor telah membuat keputusan bahawa bantuan RM30 ribu di bawah pakej rangsangan ekonomi negeri tidak akan disalurkan secara terus kepada sembilan orang ADUN pembangkang.

Katanya, ini berbeza dengan kenyataan Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini yang telah mengumumkan peruntukan RM30 ribu kepada semua 56 kawasan Dewan Negeri bagi tujuan aktiviti Mesra Rakyat, khususnya untuk keperluan harian individu dan keluarga yang terkesan akibat COVID-19.

“Jelas sekali, perkiraan politik yang digunapakai oleh kerajaan negeri di saat negara sedang berperang dengan wabak COVID-19 ini sesuatu yang sangat keterlaluan dan tidak menunjukkan kematangan Menteri Besar dan barisan EXCO yang ada.

“Tambahan, ini bukan soal peruntukan biasa, ini pakej rangsangan yang berkait langsung dengan COVID-19. Saya yakin ADUN pembangkang pun tak ada minat nak ambil ‘mileage’ politik melalui pakej ini,” tegas Shahril dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, sembilan DUN terbabit adalah seperti kawasan Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Sungai Burong, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Semenyih, Sijangkang dan Selat Klang.

Ulas Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu lagi, tindakan kerajaan negeri itu juga jelas bertentangan dengan sikap terbuka kerajaan pusat yang pada Isnin bersetuju untuk mengagihkan bantuan khas berjumlah RM130 juta kepada semua negeri di Malaysia bagi membantu menangani krisis COVID-19 tanpa mengira fahaman politik kerajaan negeri masing-masing.

“Lebih jelas, ia langsung tidak mencontohi Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Johor yang faham ini bukan masa bermain politik – mereka salurkan kepada semua ADUN,” ujarnya.

Dalam konteks ADUN-ADUN Muafakat Nasional di Selangor yang tidak diberi peranan, semuanya adalah wakil rakyat di kawasan luar bandar atau pinggiran bandar, jelas Shahril lagi.

“Rakyat luar bandar sudah mula teruk terkesan. Contoh mudah – kilang sawit banyak sudah tidak beroperasi dan tak beli sawit. Lori sudah tak ambil kelapa. Pasar tani tutup. Hasil kampung tidak keluar.

“Pengumuman KWSP (Pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) hari ini permulaan baik, tetapi sejauh mana orang luar bandar ada KWSP? Hakikatnya, ramai penduduk luar bandar yang bergantung harap hasil pertanian,” katanya.

Justeru itu tambah Shahril, dalam senario sebegitu seharusnya biarlah ADUN yang dipilih rakyat dan paling dekat dengan rakyat mengurus pakej rangsangan Selangor itu.

“Saya harap MB Selangor boleh pertimbang semula keputusan tidak wajar ini,” gesanya. – UMNO ONLINE