Saringan Ujian COVID-19 Secara Percuma Patut Dijadikan Prioriti Kerajaan – Najib

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpendirian bahawa saringan ujian COVID-19 percuma secara besar-besaran patut dijadikan prioriti utama kerajaan Malaysia.

Ini kerana beliau percaya kos untuk memberi saringan percuma kepada sesiapa yang mahu diuji memberi pulangan jauh lebih besar berbanding langkah-langkah lain yang diambil oleh kerajaan.

“Saya juga percaya bahawa melaksanakan saringan besar-besaran adalah antara langkah paling efektif untuk melawan COVID.

“Kerajaan kata jumlah kos untuk melaksanakan setiap saringan adalah sekitar RM700 seorang. Ini bermakna jumlah kos untuk melaksanakan 15,196 saringan setakat ini ialah sekitar RM10.6 juta.

“Katakanlah kita berjaya menurunkan kos saringan ke RM500 seorang, jumlah kos untuk membuat saringan untuk 1 juta rakyat adalah RM500 juta,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya lagi dengan memberi gambaran bahawa jumlah nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia adalah RM1.4 trilion tahun lepas atau sekitar RM3.8 bilion sehari.

“Sebab itu, apakah kos RM500 juta berbanding pulangan yang diperolehi jika kita mampu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara kita?

“Lagipun, kos setiap saringan COVID sedang menurun pada ketika ini kerana semakin banyak syarikat dalam dunia sedang memperkenalkan kit ujian COVID yang semakin mudah diguna dan semakin murah,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu mengambil contoh pendekatan yang diambil oleh negara Korea Selatan berbeza dengan negara-negara lain.

Katanya, Korea yang jumlah saiz penduduknya 51 juta orang telah berjaya mengawal kenaikan kes COVID-19 tanpa melaksanakan perintah berkurung atau kawalan pergerakan yang ketat.

“Negara itu mengambil langkah untuk memberi saringan percuma kepada sesiapa sahaja yang mahu diuji.

“Setakat ini, Korea Selatan sudah membuat lebih 300,000 saringan berbanding 15,196 saringan di Malaysia,” tambahnya.

Justeru itu, Najib memberi beberapa saranan kepada kerajaan iaitu:

1. Terus berusaha untuk mengurangkan kos saringan serta masa untuk membuat setiap saringan.

2. Meningkatkan kapasiti untuk membuat saringan dan memudahkan cara rakyat mendapat saringan.

3. Berpakat dengan rangkaian syarikat perubatan swasta untuk bersama-sama memberi saringan percuma tanpa syarat kepada setiap orang di Malaysia (termasuk orang asing tanpa kira mereka ada permit atau tak ada permit) yang ingin diuji sebab mereka percaya mereka mungkin terdedah kepada risiko COVID.

4. Memberi jaminan bahawa sesiapa yang dikehendaki kuarantin diri secara mandatori di rumah sendiri atau di pusat kuarantin kerajaan selepas diuji akan dibantu dari segi kewangan dan bekalan makanan serta barangan keperluan dalam tempoh kuarantin.

Dan sesiapa yang melanggar tempoh kuarantin ini akan dipenjarakan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.