Malaysia Mohon China Hantar Pakar Perubatan, Bantu Barisan Depan Negara

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Kerajaan sedang berunding dengan China untuk memohon negara berkenaan menghantar pakar perubatan mereka ke sini bagi membantu petugas barisan depan negara memerangi COVID-19 habis-habisan.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ini antara peranan dimainkan Wisma Putra dalam menggunakan hubungan baik negara dengan kerajaan-kerajaan di luar negara bagi mendapatkan bantuan dalam memerangi wabak berkenaan.

“Susulan perbincangan ini, saya difahamkan pakar perubatan dari 26 buah hospital di Malaysia akan mengadakan persidangan menerusi video dengan pakar-pakar perubatan yang berada di China pada Khamis ini (26 Mac 2020) bagi berkongsi kaedah serta strategi terbaik dalam melawan COVID-19,” katanya pada sidang media yang diadakan secara langsung melalui akaun Facebooknya, hari ini.

Selain itu, melalui hubungan Malaysia-Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Hishammuddin berkata Wisma Putra juga sedang berusaha mendapatkan bantuan peralatan perubatan daripada negara berkenaan.

“Kami berbual terutama mengenai peralatan perubatan, peralatan perubatan kritikal dan saya percaya UAE mempunyai beberapa keupayaan untuk membantu kita dalam hubungan ini.

“Beberapa peralatan perubatan yang diperlukan itu kritikal dan ini sesuatu yang kadang-kadang anda juga jika mempunyai wang tidak dapat memperolehnya, saya tidak bercakap hanya mengenai penutup mulut dan hidung atau pakaian perlindungan, terdapat perkara yang lebih kritikal, yang kita tidak sepatutnya mempunyai rasa cemas, ego dan sombong untuk meminta bantuan.

“Ini sesuatu yang ditunjukkan oleh UAE, dan apa jua yang mereka hendak bantu kita berhubung peralatan kritikal yang diperlukan, mereka akan membantu kita, mereka melihatnya sangat menggalakkan dan masih dalam rundingan,” katanya.

Hishammuddin berkata perkembangan mengenai permohonan berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan memberi jaminan segala bentuk peralatan bantuan yang tiba kelak akan disalurkan kepada pihak yang bersesuaian. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.